PBSS Sumbang Makanan Sarapan Di PPV SK Jawi-Jawi

UNTUK BEKAL SARAPAN: Idris Nanti menyampaikan bekalan makanan sarapan kepada Mohd Japar Aris Guru Besar SK Jawi-Jawi Kota Belud.

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA BELUD: Persatuan Bajau Sama Sabah ( PBSS ) daerah Kota Belud menghulurkan sumbangan ikhlas berupa makanan sarapan kepada petugas-petugas KKM dan orang ramai yang datang mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi-Jawi Kota Belud baru-baru ini.

Pihak PBSS daerah Kota Belud mengambil inisiatif berkenaan setelah mendapat perhatian Timbalan Presiden PBSS, Datuk Haji Musbah Haji Jamli yang mendapati orang ramai yang hadir mendapatkan vaksin di PPV berkemungkinan tidak sempat bersarapan di rumah masing-masing sebelum mendapatkan vaksin.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi PBSS daerah Kota Belud, Idris Haji Nanti dibantu oleh beberapa orang ahli jawatankuasa PBSS daerah bersama sukarelawan PBSS.

Idris berharap bekalan makanan sarapan yang disediakan itu dapat dijadikan alas perut kepada semua yang hadir sebelum mendapatkan vaksin.

Antara individu yang tampil menyokong aktiviti sumbangan itu ialah Mohd Japar Aris, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jawi-Jawi yang membantu menyediakan tempat penyimpanan dan pengagihan sarapan kepada orang ramai

Sumbangan penyediaan sarapan membuktikan PBSS daerah Kota Belud sangat prihatin terhadap kebajikan orang ramai yang datang mendapatkan vaksin.

BERSAMA SUKARELAWAN… Idris bersama sukarelawan PBSS di PPV SK Jawi Jawi.

Mereka berharap agar akan ada pihak-pihak tertentu yang tampil melakukan perkara sedemikian di pusat-pusat pemberian vaksin.

PBSS Kota Belud antara NGO di Kota Belud yang aktif dan sentiasa tampil membantu golongan yang kurang mampu serta masyarakat yang menghadapi kesusahan dan penderitaan terutama ketika era pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu.

scroll to top