RANAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat prihatin terhadap sebarang masalah sosial dan salah laku yang berlaku dalam kalangan generasi muda.
Berlandaskan kepada kesedaran itu, satu kerjasama tersusun dan bersistematik antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PDRM diwujudkan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ia dilihat mampu membendung isu salah laku sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan perlakuan jenayah daripada terus menular.
Katanya, setiap pelajar hendaklah mempunyai fokus untuk mencipta masa depan lebih cerah dan menjadi orang berguna kepada masyarakat.
“Pelajar itu sendiri perlu tahu dan fokus kepada matlamat serta tujuan hadir ke sekolah, bukan sekadar berjumpa kawan-kawan atau hanya bergembira.
“Di sekolah, pelajar boleh mempelajari cara bersosial dengan pelbagai budaya, mendisiplinkan diri serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Back To School Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, di sini.
Jauteh berkata, di sekolah juga, pelajar boleh menunjukkan potensi terpendam atau kelebihan masing-masing dalam pelbagai bidang untuk menjadi pelajar contoh dan cemerlang.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, perlantikan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) mampu mewujudkan suasana sekolah yang aman dan selama untuk semua pihak.
Katanya, peranan PPS perlu dimanfaat sebaik mungkin dengan memberikan khidmat nasihat dan tindakan wajar sekiranya berlaku sebarang jenayah membabitkan pelajar.
“Begitu juga dalam mendepani ancaman jenayan siber seperti love scam, macau scam dan penipuan e-kewangan dan pewarisan harta dengan memberi pendedahan bagi menyuntik kesedaran komuniti.
“Selain itu, ia juga mampu mengekang penularan ideologi atau dakyah ajaran sesat, radikalisme, eksterisme dan terrorism daripada menyerap masuk ke sekolah,” katanya,