Pedalaman wajar peroleh dua kerusi baharu Parlimen Trusmadi, Rundum: STAR

Robert (tengah) bersama penduduk Nuntunan dalam kerja amal.

KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menegaskan penambahan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai amat wajar berdasarkan keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

Timbalan Presiden STAR Datuk Robert Tawik @ Nordin mengambila contoh, kawasan pedalaman yang ketika ini memiliki tiga kawasan parlimen (Keningau, Pensiangan dan Tenom) wajar memperoleh tambahan dua kerusi baharu.

“Kawasan parlimen baharu di pedalaman boleh diwujudkan di kawasan Trusmadi Keningau dan kawasan Rundum, Tenom,” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Ketika menemui penduduk Kg Nuntunan Apin-Apin kelmarin, Robert berkata, kawasan DUN Tambunan serta DUN Tulid boleh diletakkan di bawah satu kawasan baharu parlimen dalam kawasan Trusmadi.

Sementara DUN Melalap serta DUN Kemabong boleh diperluaskan ke sebahagian kawasan DUN Sook dan DUN Nabawan untuk diletakkan di bawah kawasan baharu parlimen dalam kawasan Rundum.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata demikian sebagai merujuk pendirian STAR yang disuarakan presiden Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan bulan lalu tentang kewajaran penambahan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin, kalangan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak telah menyuarakan kewajaran penambahan sekurang-kurangnya 28 kerusi parlimen bagi dua negeri dalam wilayah Borneo itu.

Penambahan 28 kerusi parlimen itu akan memberi agihan 14 kerusi baharu bagi masing-masing Sabah dan Sarawak.

scroll to top