Pegawai agensi kerajaan ditahan SPRM luluskan dokumen pembelian kenderaan isteri

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengawai sebuah agensi kerajaan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya meluluskan dokumen pembelian kenderaan bernilai kira-kira RM15,000.

Sumber berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu dipercayai memilih isterinya dalam sebut harga pembelian kenderaan lupus milik agensi berkenaan.

Menurutnya, pegawai terbabit ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, kira-kira jam 9 pagi pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pegawai itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 24 Februari depan.

Beliau menambah, SPRM Sabah turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda daripada pegawai terbabit.

scroll to top