Pegawai SISC+ Labuan dan Putrajaya jalin kerjasama

Yusup (tiga kiri) bersama pasukan SISC+ Putrajaya.

LABUAN: Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menyantuni kehadiran lawatan kerja Penandaarasan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches – SISC+) daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 7 – 8 Mac lalu.

Ketibaan rombongan disambut oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Yahya Ahmad Puteh dan pasukan SISC+ Labuan.

Program dua hari ini bertujuan mewujudkan rangkaian kerjasama, jaringan dan jalinan yang rapat dalam kalangan pegawai Jabatan Pendidikan, khususnya Pegawai SISC+.

Ia juga dapat mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama antara organisasi yang melaksanakan penandaarasan.

Rombongan yang diketuai oleh Sanisah Samad diraikan dalam satu jamuan makan malam di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri pada Isnin.

Turut menyertai rombongan tersebut ialah Nazrin Ismail, Maziah Yusop dan Datin Rumaizah Rahim.

Ketua Muzium Chimney, Nurlina Hamza @ Michael, memperkenalkan Muzium Chimney dalam slot Bicara Profesional kepada para tetamu.

Perkongsian amalan baik SISC+ Labuan dan Putrajaya diadakan pada Selasa di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jalan Sungai Lada.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan aspek kemenjadian murid dan peranan SISC+ dalam membantu guru dan sekolah merancang dan menghasilkan program yang berimpak.

Yahya (tengah) bersama Pegawai SISC+ Labuan dan Putrajaya.

Pembentangan amalan baik SISC+ Labuan disampaikan oleh Juraidah Aman dan Sanisah Samad mewakili SISC+ Putrajaya.

Kedua-dua pegawai berkongsi fungsi dan peranan SISC+, perancangan dan pelaksanaan aktiviti, kaedah penambahbaikan serta kemahiran bimbingan dan pementoran.

Lawatan penandaarasan ini diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan di kedua-dua wilayah melalui jalinan kerjasama yang berterusan.

scroll to top