KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut selepas disyaki dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Tun Razak, menghala ke Jesselton Point, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Azmi Atan, 41, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa disedari terbaring di atas jalan oleh seorang penunggang motosikal.
Katanya, mangsa yang dipercayai pejalan kaki disyaki dilanggar sebuah kenderaan yang kemudiannya bertindak meninggalkan mangsa di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan terhadap badan mangsa mendapati terdapat kecederaan parah di bahagian kepala berkemungkinan akibat kesan hentakkan objek keras di muka dan kepala.
“Polis turut mengesan satu kesan tayar di atas jalan pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya percaya kemalangan berpunca semasa mangsa cuba melintas jalan.
Bagaimanapun katanya, siasatan akan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.