Pekerja Pasar Raya, Restoran Dan Hotel Dinasihat Segera Dapatkan Vaksinasi

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Pekerja pasar raya, restoran dan hotel dinasihatkan mendapatkan vaksinasi segera sebelum penguatkuasaan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sepenuhnya selepas itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, adalah dinasihatkan agar mereka yang belum divaksin segera mendapatkan vaksinasi di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat.

“Bagi pekerja-pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV SICC untuk tujuan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurutnya, seperti yang dimaklumkan kerajaan telahpun menyediakan SOP bagi pelbagai aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ini termasuk pengoperasian restoran dan pasar raya di mana SOP menetapkan bahawa operator, pekerja dan pelanggan mestilah mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum divaksin atau belum lengkap divaksin,” katanya.

Masidi berkata, penguatkuasaan SOP bagi restoran (dine-in) dan pasar raya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk mengenakan penalti.

“Kita berharap semua yang terlibat dalam sektor ini akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa satu bulan. Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan mengambil kira kedudukan pandemik COVID-19 semasa di negeri ini yang mencatatkan kes tinggi setiap hari, adalah perlu bagi masyarakat untuk mengambil apa jua tindakan untuk mengurangkan penularan.

“Langkah untuk menguatkuasakan SOP baharu di restoran dan pasar raya adalah bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga.

“Ini akan memberi manfaat dan jagaan kesihatan kepada pekerja dan juga pelanggan. Langkah ini akan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19 semasa berada di restoran dan pasar raya,” jelasnya.

scroll to top