LABUAN: Seramai 117 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan bertuah menerima sebuah peranti untuk pembelajaran, baru-baru ini.
Insentif kerajaan di bawah program Peranti Siswa ini berjaya menyediakan peluang pembelajaran secara digital dengan lebih berkesan.

Sahbudin menyerahkan peranti kepada pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, baru-baru ini.
Penolong Kanan Tingkatan 6, Saminan Sabtu berkata pelajar-pelajar yang menerima insentif ini adalah dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang menuntut di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan.
Salah seorang penerima, Nurul Syamisha Herman Tuah bersyukur atas pemberian khas kerajaan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.
“Semestinya peranti ini membolehkan saya dan rakan-rakan belajar dengan lebih berkesan terutamanya dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan pelajar golongan B40,”katanya.
Peranti yang disumbangkan oleh kerajaan adalah berbentuk sebuah tablet berjenama yang dibekalkan oleh sebuah syarikat yang dilantik.
Turut hadir meninjau sesi pengagihan peranti tersebut ialah dua Penolong Pengarah Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Sahbudin Ag. Muhammad dan Christopher John Sintum.

Sebahagian pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan menunjukkan peranti yang diterima untuk pembelajaran, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim berharap semua pelajar yang menerima peranti ini dapat memanfaatkan sumbangan kerajaan tersebut ke arah menjayakan Dasar Pendigitalan Pendidikan selari dengan Revolusi Industri 4.0.
“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan, saya berharap pelajar menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk memperolehi keputusan yang cemerlang dalam STPM pada tahun ini,”katanya.