Pemandu Kenderaan Awam Perlu Lengkap Divaksin Berkuat Kuasa 16 September

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Semua pemandu dan pembantu atau petugas kenderaan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta e-hailing hendaklah telah lengkap divaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, syarat tambahan ini akan mulai dikuatkuasakan secara ketat mulai 16 September 2021.

“Ini adalah syarat tambahan baharu kepada syarat-syarat sedia ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa, antaranya ialah pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan berkenaan serta pemakaian pelitup muka,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Justeru katanya, adalah juga diingatkan kembali bahawa semua perkhidmatan bas henti-henti dihadkan ke kapasiti 50% sahaja, manakala untuk teksi atau e-hailing pula dihadkan maksimum hanya dua orang termasuk pemandu.

scroll to top