KENNGAU: Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pemandu yang menghilangkan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Nabawan Sepulut, Batu 47, di sini, tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, semalam, kereta jenis Proton Saga berkenaan terbakar selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta Perodua Axia yang dinaiki tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa yang menaiki Perodua Axia adalah pasangan suami isteri bersama seorang anak berusia 4 tahun.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan dalam keadaan baik dan kini masih menerima rawatan di Hospital Keningau.
“Manakala pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbakar pula masih belum dapat dikesan selepas disyaki melarikan diri.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Nor Rafidah berkata, polis mohon saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Keningau bagi membantu siasatan.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose dari tangki jentera.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.25 malam,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.10 malam.