PENAMPANG: Seorang pemandu berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Penampang Bypass, di sini, kelmarin
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa berusia 28 tahun terbabit dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.56 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang terbabas sendiri di tepi jalan dan terbalik.
“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat dalam kemalangan ini yang berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menaiki Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya.