PAPAR: Pejabat Daerah Papar akan menjalankan pemantauan berkala terhadap aktiviti penternakan dan pertanian di daerah itu bagi memastikan masalah bekalan air berbau busuk seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang.
Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee berkata pemantauan berkala itu akan dijalankan dengan kerjasama beberapa jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan.
Beliau berkata bekalan air berbau busuk, yang menghantui penduduk Papar pada Ahad serta Isnin lepas, adalah kejadian pertama seumpamanya di daerah itu, dan pihaknya telah mengenal pasti berlaku pencemaran sungai disebabkan oleh kandungan sulfer yang tinggi.
“Ia dipercayai disebabkan oleh aktiviti pertanian dan penternakan dijalankan di kawasan sungai berhampiran. Pihak kami sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti di mana punca sebenar menyebabkan air berbau busuk dalam masa sama untuk mengetahui bagaimana boleh terjadi kerana ia berlaku selepas hujan lebat,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Hadzlan berkata pemilik ladang ternakan dan pertanian di Papar diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelak daripada berlaku pencemaran alam sekitar terutama sungai yang menjadi sumber bekalan air penduduk di daerah itu.
Hadzlan berkata pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk kompaun kepada mana-mana pemilik ladang ternakan dan pertanian sekiranya melanggar undang-undang serta peraturan ditetapkan.
Pada Ahad lepas, penduduk Papar buat pertama kali berdepan masalah air paip berbau busuk dan hanyir yang sekali gus mendatangkan keresahan dalam kalangan mereka sehingga terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Mengulas perkara itu, Hadzlan berkata Jabatan Air Negeri Sabah telah mengambil tindakan pantas dengan membersihkan air di loji yang tercemar seterusnya memproses air baharu selepas menerima aduan daripada penduduk.
“Bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat pada petang Isnin,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Yatim Naming, 29, dari Kampung Berundong, menarik nafas lega selepas masalah tersebut berjaya diatasi dalam kadar segera.
“Ini adalah pengalaman pertama saya. Selepas mengetahui air paip berbau busuk, saya membeli air mineral untuk kegunaan harian sementara menunggu masalah diselesaikan. Air bersih sangat penting kerana jika air kotor dan berbau busuk kita akan jadi ragu-ragu untuk menggunakannya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Chariene Joikol, 29, dari Kampung Purak pula berkata pihak berkaitan diharap mengambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian sama tidak berulang di masa akan datang.
“Isu ini perlu diatasi secara efisien kerana jika berulang dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.
Bagi Rafiqah Dahali dari Kampung Kelanahan, berkata pihak berkuasa tempatan diminta untuk lebih peka dengan pengurusan mana-mana ladang ternakan di daerah itu supaya setiap aktiviti dijalankan adalah mematuhi prosedur ditetapkan serta tidak menjejaskan kualiti alam sekitar.
“Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap mana-mana pengurusan ladang ternakan yang melanggar peraturan. Isu pencemaran sungai harus dipandang secara serius kerana melibatkan kesihatan dalam komuniti,” katanya.-Bernama.