Pembersih Pejabat Cetus Kluster Baharu Donggongon, Penampang

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Pembersih pejabat di sebuah premis badan berkanun di Daerah Penampang mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Donggongon, Penampang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja menerusi kes positif yang berlaku di sebuah premis badan berkanun di Daerah Penampang.

“Kes indeks merupakan pembersih pejabat, wanita, 46, yang disahkan hasil saringan bergejala dengan keputusan positif (RTK-Ag) di sebuah klinik swasta pada 4 Ogos 2021.

“Selain satu lagi kes dikesan pada tarikh sama, pertambahan kes dalam kalangan kontak rakan sekerja direkodkan pada 11 Ogos dengan 12 kes, 12 Ogos pula satu kes diikuti tujuh kes pada 13 Ogos 2021 melibatkan rakan sekerja dari daerah Putatan dan Kota Kinabalu.

“Secara kumulatif, kluster ini mencatat 22 kes termasuk lapan kes baharu pada hari ini hasil saringan terhadap 40 kontak,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan sebanyak 1,654 kes positif baharu COVID-19 dan seramai 792 pesakit sembuh serta discaj dari hospital.

Beliau berkata, sebanyak 15 kes kematian dilaporkan iaitu enam kes di Kota Kinabalu, masing-masing tiga kes di Tawau dan Sandakan, manakala Beaufort, Papar dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes.

scroll to top