Oleh MARIAYATI MURSIDI
KENINGAU: Penduduk Kampung Sanang Dalit, Sook akhirnya menarik nafas lega apabila sebuah jambatan konkrit sedang dibina bagi menyeberangi sungai berkenaan
Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan segera telah diambil bagi membolehkan penduduk kampung untuk menggunakan jambatan berkenaan sebagai laluan utama ke Pekan Sook.
“Jambatan yang dibina pada tahun 1970-an telah runtuh disebabkan oleh banjir kilat. Oleh itu, penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong.
“Kerja-kerja pembinaan jambatan baharu telah bermula dan akan mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan media.
Tambahnya, pembinaan jambatan konkrit ini membolehkan penduduk kampung untuk berulang-alik dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan motosikal. Jika sebelum ini, mereka terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah dan meninggalkan kenderaan di seberang sungai.
“Apabila siap nanti, keselamatan penduduk akan lebih terjamin terutama bagi mereka yang sering menggunakan laluan ini untuk membawa ahli keluarga mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.
Jambatan baharu ini dibina melalui peruntukan khas oleh Ahli Parlimen Pensiangan.

PEMBINAAN: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kampung Sanang sedang dilaksanakan oleh kontraktor.
Arthur yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Justeru, dalam Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12), kerajaan telah mewujudkan satu bab khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan,” katanya.
Pada 16 Julai lalu, Arthur bersama Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul F. Isidore telah mengadakan lawatan ke Kampung Sanang, Dalit bagi meninjau keadaan jambatan berkenaan yang memerlukan pembaikan segera.