Pembukaan sempadan isyarat memaksimumkan vaksinasi rakyat Sabah

PELAJAR SK Putrajaya Presint 2, Balqis Alisya Mohd Rosli,11, yang sedang bercuti di Sabah mengambil peluang mendapatkan dos kanak-kanak.

KOTA KINABALU: Pembukaan sempadan antarabangsa merupakan isyarat memaksimumkan pengambilan vaksin oleh penduduk di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peralihan ke fasa endimik yang akan membuka sempadan antarabangsa mulai April depan merupakan isyarat yang perlu dipandang serius penduduk negeri ini dalam menjaga tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

MASIDI … anggap tohmahan berkaitan vaksin sebagai cabaran kerja.

“Pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April nanti merupakan isyarat kita perlu memaksimumkan pengambilan vaksinasi penduduk negeri ini memandangkan kita akan menerima sejumlah besar pelancong daripada luar tanpa mengetahui latar belakang kesihatan mereka.

“Situasi di negeri kita lebih mencabar kerana, akan menerima pengunjung dari Filipina dan Indonesia melalui jalan laut dan sebab itu kita perlu membuat penyelarasan SOP demi memastikan semua individu yang memasuki Sabah mestilah telah lengkap divaksin ekoran kadar vaksinasi kedua negara jiran tersebut mungkin tidak setinggi negara kita,” katanya kepada media dalam Majlis Pemberian Vaksin Dewasa, Vaksin Kanak-Kanak dan Dos Penggalak Covid-19 di Wisma Innoprise, pada Khamis.

PESARA, Mohd Rafik Abdul Jubar, 62, dari Kudat mendapatkan suntikan dos penggalak.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa agar memandang serius kesihatan anak-anak dengan mengambil vaksin ekoran peratusan golongan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun didalam wad meningkat akibat jangkitan Covid-19 selain sesi persekolahan akan bermula dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut pemberian vaksin di Pulau Timbang, Sandakan yang kurang mendapat perhatian, pihaknya menganggap perkara tersebut sebagai cabaran kerja namun akan terus komited menjayakan program pemberian vaksin.-Penerangan.

 

scroll to top