KOTA KINABALU Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemergian bekas Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Haji Sakaran Dandai, disifatkan sebagai satu kehilangan tokoh yang amat disegani di negeri ini.
Katanya, Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah yang merangkumi pelbagai aspek sosio-ekonomi, politik ,kebajikan dan agama.
“Allahyarham telah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjayanya, sama ada dalam perkhidmatan awam, politik dan dakwah di negeri ini, pemergian beliau sudah tentu dirasai oleh rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada Sabah360online kelmarin.
Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah, dalam bidang politik Allahyarham Tun merupakan seorang tokoh yang berperinsip dan setia kepada perjuangan parti.
“Saya pernah berkerja di bawah kepimpinan Allahyarham sebagai Ketua Menteri, pendekatan sederhana dan mesra rakyat yang menjadi amalan beliau membuatkan Allahyarham bukan sahaja disegani tapi disayangi oleh rakyat,” katanya.
Dalam bidang agama pula Bung berkata, Alllahyarham Tun Sakaran adalah ikon yang boleh dijadikan contoh dalam aktiviti dakwah terutamanya usaha untuk mengembangkan syiar Islam di negeri ini melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang beberapa pernah diterajui beliau sebagai Yang Dipertua selama beberapa penggal.
“Saya bersama kepimpinan Umno Sabah merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Hajah Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga roh dicucuri rahmat,” tambah Bung.
Sakaran Dandai, 91, disahkan meninggal dunia 5.30 pagi kelmarin di Hospital Gleneagles susulan dijangkiti Covid-19.Jenazah telah diuruskan di Masjid Negeri dan dimakamkan di Makam Pahlawan. – ADMIN.