Oleh MARIAYATI MURSIDI
SANDAKAN: Polis menggesa penduduk di 12 lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

MOHD AZHAR
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya tidak mahu penduduk di daerah ini melakukan insiden melarikan diri dari kawasan PKPD seperti yang berlaku di lokaliti lain.
“Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, kita akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Pemantauan ini tertumpu terhadap pergerakan penduduk dan mereka yang mempunyai kebenaran bergerak serta pekerja perkhidmatan perlu (essential service) sahaja yang dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran Ketua Polis Daerah Sandakan,” katanya.
Beliau berkata, IPD Sandakan sudah mendirikan sebanyak 12 pos mengikut kesesuaian bagi mengawal dan mengetatkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.
“Kebanyakan lokaliti sudah sedia berpagar dan kawat duri hanya dipasang di kawasan pagar rosak dan laluan tikus yang dikenal pasti boleh dilalui penduduk,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azhar menasihatkan supaya penduduk di kawasan PKPD di daerah ini bersabar dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.
PKPD di daerah ini membabitkan Kg.Istimewa Batu Sapi, Kg. Tinosa 2, Kg. Air/Bokara, Taman Merpati, Kg. Berhala Darat/Sim Sim, Taman Mawar, Taman Murni, Taman Kenari ( Lorong 1-8 ) , Flat Sri Taman, Flat Taman Sejati, Kg. Sundang Laut dan Kg. Lupak Meluas Darat.