Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KENINGAU: Penduduk Kampung Bandukan Lama, di sini bakal menikmati bekalan air bersih terawat yang dibekalkan di kampung tersebut dijangka siap dalam tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Sehubungan dengan itu, penduduk kampung tersebut berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik yang berusaha memohon projek pembangunan berkenaan.

JEFLY JELIUS
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bandukan Lama, Jefly Jelius, 34, berkata, selama ini mereka hanya bergantung kepada air sungai daripada paip graviti untuk keperluan asas dan urusan seharian.
“Namun masalah akan timbul setiap kali musim hujan kerana air akan kotor dan ianya menyukarkan untuk mendapatkan bekalan air bersih,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya bekalan air bersih terawat yang bakal disiapkan itu akan dapat memberikan banyak manfaat dan memberi kemudahan kepada mereka.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan sekarang kerana prihatin dengan permasalahan kampung ini di mana masalah ini sekian lama kami tunggu-tunggu untuk diselesaikan,” jelasnya.
Sementara itu bagi penduduk kampung, Noraziah Sudin, 29, berkata, sebagai suri rumah masalah air adalah perkara yang menyukarkan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga kerana apabila musim hujan bekalan air daripada paip graviti akan kotor dan membantutkan urusan seharian di rumah.
“Oleh itu, dengan adanya bekalan air terawat ini, ianya adalah satu khabar gembira lah buat kami di kampung ini,” katanya.
Bagi penduduk kampung, Anita Bukat, 56, berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap masalah mereka dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka sejak sekian lama.

NORAZIAH SUDIN DAN ANITA BUKAT.
“Banyak masalah yang dihadapi jika tiada bekalan air bersih ini. Apabila musim hujan air sungai akan kotor, air paip graviti juga selalu terputus sebab tersumbat ketika hujan, aktiviti harian pun terganggu dan terpaksa mencari bekalan air bersih untuk makan dan minum.
“Jadi dengan bantuan kerajaan untuk menyalurkan bekalan air bersih terawat ini kami sangat bersyukur lah kerana akhirnya ada penyelesaian masalah yang kami hadapi ini,” jelasnya.
Terdahulu Jurutera Jabatan Air Daerah Keningau, Doddy Jude Anthony ketika ditemui berkata, kerja-kerja pelaksanaan projek itu sedang dilaksanakan ketika ini dan akan mengambil masa dalam 18 bulan untuk disiapkan.