Oleh MARIAYATI MURSIDI
BELURAN: Semua penduduk di kawasan kepulauan dalam DUN Labuk diminta bertindak sebagai agen penyebar maklumat berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang giat dilaksanakan di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Samad Jambri berkata, ia penting bagi memastikan lebih ramai penduduk di daerah itu mendaftar sekaligus tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin.
Katanya, penyebaran maklumat mengenai program berkenaan bukan sahaja terletak di bahu Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Beluran, sebaliknya perlu dilaksanakan oleh mereka yang telah mendapat suntikan berkenaan.
Ini termasuk penyebaran maklumat mengenai kebaikan suntikan vaksin yang giat dilaksanakan ketika ini demi mencapai imuniti kelompok negara menjelang Oktober depan.
“Jadi saya berharap dengan penerimaan penduduk kampung di Pulau Keniogan ini, mereka juga akan menyebarkan ataupun memberi khabar gembira kepada kawasan-kawasan yang lain supaya sama-sama menerima baik program imunisasi kebangsaan ini agar keseluruhan penduduk luar bandar ini tidak ada yang tercicir daripada menerima vaksin,” katanya ketika meninjau proses vaksinasi komuniti Kampung Pulau Keniogan menerusi Program Outreach CITF Beluran di kawasan DUN Labuk, di Beluran.
Dalam pada itu, Samad yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar berpuas hati dengan proses pemberian vaksin berkenaan walaupun anggota CITF terpaksa meredah laut kira-kira sejam untuk sampai ke kampung berkenaan.
“Saya amat berpuas hati dengan proses vaksinasi ini dan semua petugas dilihat melaksanakan tugas sebaiknya, jadi memang ini yang kita harapkan walaupun jarak pulau ini mengambil masa perjalanan lebih sejam namun dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya.
Kampung Pulau Keniogan merupakan lokasi pertama pelaksanaan program outreach daerah Beluran. Program sama juga akan dilaksanakan di Kampung Pulau Tetabuan, Bukit Besi dan Kampung Lung Manis.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Beluran Dayang Ammie Awang Damit yang turut mengikuti program itu berkata, sasaran dos suntikan vaksin yang diperuntukkan bagi pelaksanaan program outreach untuk kempat-empat kampung berkenaan bergantung kepada jumlah mereka yang berdaftar untuk mendapatkan suntikan berkenaan.
“Sasaran dos ini bergantung kepada pendaftaran di sesebuah kampung itulah tapi untuk di Pulau Keniogan dan Pulau Tetabuan kami mensasarkan ada 600 dos akan diberikan kepada penduduk kampung dan di dua buah kampung lagi di Bukit Besi dan Lung Manis sebanyak 400 dan 300,” katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Keniogan Haji Lokman Datuk Madlis, menyifatkan suntikan vaksin yang diterima sebagai lesen untuk meningkatkan imuniti diri.
“Jadi kalau kita mempunyai vaksinasi ini tidak lagi ada ketakutan untuk kita keluar ke bandar jika kita berhadapan di mana-mana jika ada wabak sekurang-kurangnya diri kita ini ada perlindungan,” katanya.
Seramai 56 anggota melibatkan petugas KKM, APM, RELA, Maritim dan sukarelawan terlibat dalam program outreach itu.