Penduduk kampung rayu jambatan gantung dibaiki

PITAS: Terpaksa berdepan risiko menyeberangi Sungai Bengkoka hampir setiap hari untuk pergi ke sekolah.

Itu cabaran dilalui 58 murid yang menggunakan perahu kecil untuk berulang alik menyeberangi sungai selepas jambatan gantung rosak teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Difahamkan, semua murid terbabit tinggal di lima kampung di sekitar sungai berkenaan iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salungkapit, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon.

Ketua Kampung Bilangau Edward Upak berkata, jambatan gantung yang menjadi satu-satunya penghubung rosak teruk akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini.

Katanya, ia tidak lagi dapat digunakan dan penduduk terpaksa membayar tambang untuk menggunakan perahu setiap kali keluar untuk ke sekolah ataupun aktiviti harian lain.

“Kerosakan jambatan ini menjadikan semua penduduk di lima kampung terpaksa menggunakan perahu sebagai jalan penghubung utama.

“Ini termasuk 58 murid dari lima kampung yang terpaksa berulang alik menggunakan perahu menyeberangi Sungai Bengkoka untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jambatan itu amat penting kerana ia juga menyukarkan penduduk terutama mereka yang perlu ke klinik di Kampung Dandun untuk mendapatkan rawatan atau ubat-ubatan.

“Saya berharap, perkara ini dapat diambil perhatian segera dan kerja-kerja baik pulih jambatan dapat dijalankan secepat mungkin.

“Ini bukan saja untuk kemudahan tetapi juga keselamatan semua penduduk di lima kampung sekitar,” katanya.

scroll to top