Oleh MARIAYATI MURSIDI
PENAMPANG: Polis menggesa penduduk yang berada di lapan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penampang dan Putatan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ini berikutan wujud insiden melarikan diri dari kawasan PKPD seperti yang berlaku di lokaliti lain.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Hari ini saya bersama pengawai dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang membuat tinjauan di beberapa lokasi yang sedang dikuat kuasakan PKPD termasuk di Apartmen Beverly Hills Fasa 2.
“Pemantauan ini tertumpu kepada melihat pergerakan penduduk supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas memantau lokaliti PKPD di Apartmen Beverly Hills, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Logistik IPD Penampang Inspektor Tuanku Shariff Wan Ahmad dan Pegawai Bahagian Pelesenan Inspektor Arisanti Aziz.
Mohd Haris berkata, pihaknya bimbang akan berlaku cubaan bolos keluar dari kawasan dikawal seperti di sesetengah tempat yang tular di media sosial.
Katanya, jumlah keseluruhan kawasan yang dikuat kuasakan PKPD bagi Penampang dan Putatan setakat ini adalah sebanyak lapan lokaliti dengan dipantau seramai 50 keanggotaan yang bertugas 24 jam dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“IPD Penampang sudah mendirikan sebanyak 12 pos mengikut kesesuaian bagi mengawal dan mengetatkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.
“Polis telah bertindak menutup beberapa laluan tikus dengan menggunakan kawat duri di beberapa lokaliti PKPD terutamanya di kawasan perkampungan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya penduduk di kawasan PKPD di daerah ini bersabar dan tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang.
Tambahnya, bagi pergerakan perkhidmatan penghantaran makanan pula, mereka perlu melakukan imbasan kod QR dan catatan suhu apabila memasuki kawasan PKPD.
Empat lokaliti di Penampang yang diisytiharkan PKPD ialah Kampung Kobusak, Baverly Hills Fasa 2, Kampung Madsiang dan Kampung Babagon.
Manakala di daerah Putatan pula membabitkan Kampung Muhibbah, Tebongon, Dumpil Keramat dan Kampung Lembising.