Penduduk Minansut Harap Tiada Pergolakan Politik Di Sabah

TINJAUAN…Robert ketika melawat jalan konkrit Kampung Minansut yang  siap dilaksanakan baru-baru ini.

KENINGAU: Penduduk Kampung Minansut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor berharap agar tidak berlaku pergolakan politik di Sabah.

Menurut mereka, ini kerana kerajaan kini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dalam membendung penularan Covid-19 dan juga melaksanakan pembangunan yang turut melibatkan kawasan kampung.

JUHAIDI ABIE

Mereka berkata, kerajaan kini khususnya melalui wakil rakyat mereka iaitu ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik  menunjukkan perkhidmatan yang terbaik dalam masa setahun dalam kerajaan iaitu dengan melaksanakan pelbagai penyelenggaraan dan pembangunan di kawasan kampung.

Bagi penduduk kampung, Melania Jelis berkata, walaupun dalam masa setahun Robert berada dalam kerajaan, tetapi usaha beliau dalam melaksanakan penyelenggaraan dan pembangunan sudah kelihatan di Kampung Minansut.

“Kalau boleh diteruskan lagi perkhidmatan beliau sebab jika berlaku pergolakan politik sekarang, dalam setahun itu tidak cukup untuk beliau membantu sepenuhnya, kalau boleh disambung lagi.

“Pergolakan politik ketika ini juga adalah tidak sepatutnya berlaku disebabkan negara kita masih mempunyai kes yang tinggi Covid-19, jadi biarlah dihabiskan satu penggal ini atau tunggu Covid-19 ini reda baru dibuat pilihan raya balik,” jelasnya.

Sementara itu bagi penduduk Kampung Minansut, Juhaidi Abie berkata, mereka masih memerlukan perkhidmatan Robert dalam kerajaan kerana beliau menunjukkan perkhidmatan yang terbaik.

SYELVESTER ANTHONY

“Walaupun kampung kami masih memerlukan banyak lagi pembangunan atau kemudahan tetapi kami juga memahami bahawa masih banyak kampung dalam DUN Bingkor ini yang memerlukan perhatian dan bantuan untuk pembangunan kampung.

“Namun, dalam setahun ini usaha-usaha beliau sudah kelihatan di Kampung Minansut ini, saya juga berharap perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat lebih panjang agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di DUN Bingkor, khususnya di kampung ini,” jelasnya.

Beliau turut berkata, bahawa pergolakan politik ketika ini adalah amat tidak wajar kerana rakyat masih bergolak dengan keadaan pandemik Covid-19 ini yang semakin hari meningkat.

Sementara itu, bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minansut, Sylevester Anthony berkata, untuk  Kampung Minansut saja, projek pembangunan yang  siap dilaksanakan ialah penyelenggaraan Sungai Bayayo, pembinaan jalan konkrit, penambahan culvert untuk membesarkan jalan kampung dan baik pulih lampu jalan.

scroll to top