Penduduk Pantai Emas Terancam Hakisan Ombak

HAKISAN OMBAK…Sharif Asnawan menunjukkan kawasan pantai yang terhakis akibat ombak di Pantai Emas.

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA BELUD: Penduduk Kampung Pantai Emas berdepan masalah kehilangan tanah akibat hakisan ombak yang berlaku setiap musim tengkujuh.

SHARIF ASNAWAN SH DOKI.

“Pantai Kampung Pantai Emas sepanjang kira-kira tiga kilometer terancam hakisan ombak terutamanya ketika berlakunya fenomena air pasang besar setiap tahun,” kata Sharif Asnawan Sharif Doki, jurucakap penduduk kampung kepada Sabah360online.com.

Katanya, hakisan ombak yang mula dikesan pada penghujung 1970-an hingga ke hari ini memusnahkan kawasan tanah kira-kira 250 meter hingga 400 meter dari kawasan pantai.

“Hakisan ombak dilihat lebih terus jika berlakunya fenomena air pasang yang boleh mengakibatkan air laut naik ke kawasan padang seperti yang pernah berlaku dalam tahun 90-an.

Menurutnya, ramai penduduk terpaksa memindahkan rumah mereka ke kawasan yang jauh dari pantai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Hakisan ombak itu boleh mengakibatkan  kerosakan rumah-rumah  penduduk yang berdekatan dengan  pantai dan pada masa yang sama boleh menghanyutkan  tanah perkuburan Kampung Pantai Emas jika tiada sebarang tindakan dilakukan untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata sesuatu perlu dilakukan demi keselamatan penduduk kampung yang tinggal berdekatan pantai.

Sharif Asnawan menyarankan agar kerajaan membina tembok atau sekurang-kurangnya gabian bagi menghalang hakisan ombak itu daripada menghakis tanah penduduk.

Katanya, kerajaan perlu memasang tembok seperti yang dibuat di kawasan pantai Tanjung Lipat di Kota Kinabalu atau seperti yang dibuat di kawasan pantai di Pantai Manis Papar.

Menurutnya, keadaan dijangka bertambah lebih teruk dalam masa tiga tahun dari sekarang jika keadaan itu dibiarkan tanpa tindakan.

Katanya, beberapa tahun lalu, beberapa rumah terpaksa dirobohkan dan dipindahkan ke tempat baru yang lebih selamat.

Jelasnya, kini terdapat sebanyak 15 buah rumah yang terancam bahaya kerana terletak berdekatan kawasan pantai dan terdedah kepada masalah hakisan yang membimbangkan.

Beliau meminta ihsan kerajaan untuk melihat dan membantu mengatasi masalah hakisan ombak yang merisaukan penduduk kampung sejak puluhan tahun lalu.

Sharif Asnawan juga menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Fairuz Renddan untuk tampil membantu menangani masalah akibat hakisan ombak itu.

scroll to top