Penerimaan dos penggalak di Sabah masih rendah

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Kadar penerimaan vaksin dos penggalak di negeri ini masih berada pada tahap rendah dengan hanya 14 peratus, setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penerimaan dos vaksin ini amat digalakkan sebagai usaha menghindari gejala teruk selain mengurangkan risiko kematian akibat jangkitan Covid-19.

Katanya, mengikut kepada rekod semasa, kes kematian membabitkan Covid-19 di Sabah sejak Januari lalu lebih kepada golongan yang belum mendapat dos penggalak.

“Berdasarkan rekod, daripada 44 orang yang meninggal di luar hospital (BID) akibat COVID-19 dalam tempoh 1 Januari hingga 17 Februari tahun ini adalah seramai 42 orang atau bersamaan 95 peratus belum menerima dos penggalak.

“Ini berbanding hanya dua kematian atau bersamaan lima peratus dalam kalangan mereka yang sudah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.

Sehubungan itu, Masidi berkata, orang ramai di negeri ini boleh mendapatkan dos penggalak di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Selain itu katanya, mereka juga boleh mendapatkannya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak yang akan dibuka di seluruh Sabah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Masidi berkata, statistik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Sabah pada Isnin, menunjukkan seramai 11,859 individu di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, seramai 8,686 orang daripada senarai berkenaan adalah penduduk dewasa dan 69 remaja serta 3,104 kanak-kanak.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 20 Februari tahun ini ialah seramai 2,485,533 orang.

“Ini meliputi 2,118,483 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 77.98 peratus jumlah penduduk dewasa.
“Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula ialah seramai 2,412,537 orang dengan seramai 2,099,008 orang atau 77.27 peratus daripadanya ialah penduduk dewasa,” katanya.

Manakala katanya, seramai 338,443 orang atau 79.41 peratus remaja di Sabah sudah menerima satu dos vaksin dan 313,529 atau 73.56 peratus sudah menerima dos lengkap.

Masidi berkata, bagi PICK Kanak-Kanak (PICKids) pula, seramai 28,607 orang atau 6.95 peratus menerima satu dos vaksin setakat ini.

scroll to top