Penggunaan teknologi sesuai mampu tingkat pengeluaran beras

GUNA DRONE…Dr Daud mencuba penggunaan teknologi drone Kampung Darat Pauh Bongawan pada Selasa.

BONGAWAN: Penggunaan teknologi yang sesuai, mulai daripada pembajakan sehinggalah menuai padi, akan dapat menurunkan kos pengeluaran padi dan dapat meningkatkan hasil beras, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N30 Bongawan, Dr Daud Yusop.

Beliau yang juga Penaung Kelab Alumni Pengajian Tinggi Indonesia Sabah (KAPTI) berkata, penggunaan teknologi drone untuk kerja-kerja menabur benih, menyembur racun, dan membaja mampu memberikan impak positif terhadap bidang pertanian di negeri ini.

TAKLIMAT…Antara tetamu dan peserta yang hadir dalam majlis berkenaan.

Dr Daud berkata demikian selepas menghadiri Majlis Taklimat Khidmat Drone di Dewan Terbuka Kampung Laut Bongawan seterusnya menyaksikan demontrasi di Tapak Projek Rintis Padi di Kampung Darat Pauh, Bongawan pada Selasa.

Beliau  juga melahirkan keyakinan bahawa  teknologi drone ini mampu menarik minat anak-anak muda menceburi bidang pertanian, bertani di sawah padi.

Katanya, perkara ini juga akan dapat mengurangkan penghijrahan belia kampung ini ke bandar-bandar  untuk mencari pekerjaan.

Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganjurkan banyak program untuk membantu usahawan-usahawan muda melalui penglibatan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya, antaranya Program Agropreneur Muda, Klinik Usahawan Agro dan lalin-lain lagi.

PENYERTAAN…Seorang peserta menerima sijil penyertaan dalam majlis berkenaan.

Program-program berkenaan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan golongan muda dan belia menceburi bidang pertanian, tambahnya.

Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada belia supaya dapat menjana pendapatan yang tinggi.

Oleh itu,beliau menyeru anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian agar merebut peluang yang ada untuk menjadi pelapis dan pemain dalam bidang pertanian di negara ini.

Menurutnya, persepsi golongan belia terhadap bidang pertanian perlu terus diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam bidang ini, sekali gus berupaya untuk meremajakan sektor pertanian.

Beliau memberitahu, penggunaan drone untuk penaburan benih padi itu bakal dilaksanakan di Projek Rintis Tanaman Padi di Kampung Darat Pauh, Bongawan yang diusahakan oleh Kelab Alumni Pengajian Tinggi Indonesia Sabah (KAPTI).

Katanya, KAPTI menyedari impak dan risiko daripada projek rintis ini, iaitu mengalami

kos yang tinggi dan hasilnya yang rendah, kerana projek ini diusahakan di atas tanah sawah yang luasnya hanya kurang lebih 1.8 ekar sahaja.

Namun sesuai dengan matlamat penubuhan KAPTI dan menyahut seruan visi Sabah Maju Jaya, serta selaras dengan Dasar Agromakanan Negara, KAPTI tampil ke depan untuk menyumbangkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki untuk memberi khidmat kepada masyarakat di bidang pertanian.

Katanya, sumbangan KAPTI ini sangat kecil, jika dihitung dengan angka, namun nilai moral, dan motivasi yang ditunjukkan oleh KAPTI berjaya menyuntik semangat petani di kampung ini.

Beliau difahamkan , beberapa pemilik tanah sawah terbiar di sekitar projek ini berjumpa dengan pihak KAPTI, meminta tanah mereka diusahakan. “Ini petanda baik, ada potensi penanaman padi di kampung ini akan rancak semula,” katanya.

Menurutnya, tanah sawah yang terus terbiar bakal menjejaskan hasil padi dan menjejaskan usaha sara diri beras negara khususnya negeri Sabah.

Katanya, Sabah memilki kawasan sawah yang luas, namun suatu hari nanti, kawasan ini akan menjadi kecil jika tiada kawalan dan peraturan terhadap pengubahan tanah sawah kepada perumahan dan pembangunan domestik.

Lebih menyedihkan lagi, jika tiada pewartaan atau penggantian tanah sawah yang baharu dalam tempoh pengubahan berkenaan.

Katanya, KAPTI bersedia untuk bersama-sama dengan pemilik tanah sawah terbiar bagi  merancakkan penanaman padi dalam skala besar.

TERBANGKAN…Dr Daud sedia menerbangkan drone di projek Rintis Tanaman Padi Kapti di Bongawan.

Beliau  berharap hal ini menjadi kenyataan, dan dilaksanakan dengan konsep sosial ekonomi dalam konteks menjayakan agenda sekuriti makanan negara.

Saya juga berharap usaha murni KAPTI ini mendapat kerjasama dan galakkan daripada jabatan-jabatan dan agensi-agensi  kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan penanaman padi .

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi KAPTI,Ir Zulkifli Usop, Pengerusi Koperasi KAPTI Bhd, Dr Jamal Kastari, Konsultan  KAPTI  Datuk Dr Hj Mohd. Dandan Hj. Alidin,   Pegawai Pertanian Kanan, Papar, Noorazimie Maidin;  Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Pengeluaran Benih Padi Papar, Puan Nurul Syira Tassim, Penolong Jurutera,JPS Papar Ho Kat Fui, Pegawai Pertanian Pitas, Suhaimi Sattu, Pengarah Eksekutif, Kimia Sdn Bhd, Paul Wong, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Laut,Sabdin Mohd Ismail dan Ketua Kampung Laut, Saidi Daman.

scroll to top