Peniaga diperdaya syarikat pengurusan acara digalak tampil buat laporan polis

LAPORAN POLIS ... Laporan polis sudah dibuat oleh semua peniaga terbabit namun masih belum ada sebarang perkembangan daripada pihak berkaitan.

KOTA KINABALU: “Kita minta peniaga yang turut mengalami masalah sama supaya tampil membuat laporan polis kerana difahamkan bukan lapan peniaga saja yang terlibat malah mencecah hampir 70 peniaga”.

Demikian tegas Penyelaras Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, Jerry Jaimeh yang menerima aduan daripada lapan peniaga setakat ini.

Difahamkan, lapan peniaga itu tampil membuat laporan polis bagi menuntut semula wang yang sudah dibayar kepada sebuah syarikat pengurusan acara selepas acara konsert yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Ogos lalu ditunda sehingga kini.

Jerry berkata, semua peniaga terlibat membuat aduan kepada MHO bahawa mereka diperdaya oleh individu daripada sebuah syarikat pengurusan acara pada minggu lalu.

Katanya, laporan polis sudah dibuat oleh semua peniaga terbabit namun masih belum ada sebarang perkembangan daripada pihak berkaitan.

“Jadi mereka berjumpa dengan MHO dan kita minta mereka datang untuk membuat laporan polis sekali lagi pada Rabu lalu.

“Peguam MHO juga akan buat satu lagi surat untuk bertanyakan mengenai status laporan yang dibuat oleh semua peniaga terlibat sebelum ini,” katanya.

Jerry berkata, sekiranya ia tidak berkaitan dengan kes jenayah, pihaknya akan bantu untuk membuat tuntutan di mahkamah sivil.

Oleh demikian katanya, peniaga yang turut mengalami masalah yang sama diminta supaya tampil untuk membuat laporan polis.

“Kita difahamkan bukan lapan peniaga saja yang terlibat tetapi kira-kira 70 peniaga lain,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Siti Nurshrina Zaidin, 27, berkata, laporan polis itu dibuat untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada syarikat pengurusan berkenaan.

Katanya, mereka menuntut supaya wang yang dibayar sebelum ini dikembalikan berikutan acara yang dijanjikan tidak berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kami mengalami kerugian bukan saja membayar wang tapak lot berniaga tetapi juga untuk membeli barangan persediaan untuk berniaga termasuk barang mentah.

“Bagi dua tapak lot berniaga berkenaan saya membayar sebanyak RM5,000 manakala barangan untuk jualan mencecah sehingga RM6,000,” katanya.

Siti Nurshirina berkata, disebabkan mahu mengambil peluang berniaga ketika konsert itu berlangsung, dia sanggup menggadaikan emas untuk dijadikan modal bayaran tapak berniaga berkenaan.

“Saya terpaksa gadai barangan kemas untuk dijadikan modal pusingan dan sekarang terpaksa pula bayar faedah saja,” katanya.

scroll to top