Penjawat Awam Meninggal Dunia Ketika Mendaki Di Pulau Bohey Dulang

FARHAN

SEMPORNA: Seorang penjawat awam meninggal dunia selepas melakukan aktiviti mendaki di kawasan puncak Pulau Bohey Dulang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.13 pagi itu, Rozalina Sharina Rosedi, 40, dilaporkan pengsan di lokasi tersebut selepas mengadu diserang asma.

Difahamkan, mangsa dibawa turun oleh seorang pengunjung lain yang ketika itu turut menjalankan aktiviti mendaki di pulau berkenaan sebelum meminta pertolongan daripada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS).

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.12 petang.

“Dilaporkan, mangsa bersama dua rakannya pergi ke pulau berkenaan bagi tujuan percutian dan riadah pada jam 10.13 pagi.

“Bagaimanapun ketika mendaki di Pulau Bohey Dulang, mangsa mengadu sesak nafas dan tiba-tiba pengsan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, kakitangan TTS segera memberikan bantuan kecemasan awal dan membawa mangsa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sebaik pemeriksaan dilakukan, pegawai perubatan yang bertugas di Unit Kecemasan Hospital Semporna mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya.

Farhan berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan.-UB

scroll to top