Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Penularan wabak COVID-19 di dua tempat kerja menyebabkan jumlah kes harian di Sabah melambung tinggi melepasi angka 2,000 iaitu 2,052 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jangkitan virus COVID-19 di sebuah pelantar minyak yang melibatkan 209 pekerja, dan ditambah pula dengan 109 pekerja tapak binaan Hyatt Centric (berhadapan Suria Sabah, Kota Kinabalu) terdiri warga Filipina, China dan Malaysia menjadikan jumlah yang amat tinggi bagi daerah Kota Kinabalu dalam sehari iaitu 635 kes.
“Berapa daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi, Tuaran daripada 83 kes kepada 126 kes, Tawau daripada 137 kes kepada 178 kes, Beaufort daripada 40 kes kepada 86 kes, Kota Belud daripada 49 kes kepada 84 kes, Lahad Datu 23 kes kepada 50 kes, Ranau 14 kes kepada 44 kes, Telupid 23 kes kepada 77 kes, Sipitang 29 kes kepada 46 kes dan Tongod daripada sembilan kes kepada 21 kes,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Daripada 2,052 kes baharu, 1,154 kes atau 56.24 % melibatkan kontak rapat, 440 kes atau 21.44% adalah kes melalui saringan bergejala, 91 kes daripada saringan kluster sedia ada dan 71 kes melalui saringan bersasar manakala, 14.4% atau 296 kes adalah daripada kategori-kategori lain.
Menurutnya, seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,154 kes daripada saringan kontak rapat.
“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, sebanyak 28 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lapan kes di Kota Kinabalu, enam di Tawau, empat di Tuaran, tiga di Sandakan, dua di Kuala Penyu dan masing-masing satu kes di Putatan, Keningau, Sipitang, Penampang dan Beluran.
Sementara itu, terdapat satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Batu Linting, Kuala Penyu yang melibatkan penularan COVID-19 dalam komuniti yang disyaki berpunca daripada majlis keagamaan.
“Kes indeks adalah wanita, 34, yang dikesan positif dengan keputusan ujian RTK Antigen grading 100% dalam saringan bergejala di Hospital Kuala Penyu.
“Saringan kontak menunjukkan wujud pertambahan kes positif susulan saringan kontak rapat serta kontak sosial dan ia berkait rapat dengan majlis keagamaan yang diadakan di rumah kes indeks pada 31 Julai 2021.
“Daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk lapan kes baharu hari ini yang dikesan di Kg Bt Linting, Kg Mansud dan Kg Bundu dan Kg Kupang,” katanya.