TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Batu 7 Jalan Apas, di sini.

PETER UMBUAS
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa Samir Nabil,21, dari arah Jalan Air Panas menuju ke Ranggu, manakala pemandu pacuan empat roda pula menuju ke Jalan Tiku.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu terbabit tergesa-gesa membuat pusingan-U tanpa menghiraukan keadaan selamat di lokasi tersebut.
Katanya, mangsa yang berada dalam jarak terlalu dekat tidak sempat mengelak dan telah melanggar pintu hadapan kiri kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu pacuan empat roda ketika membuat pusingan-U.
Peter berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tawau dan bedah siasat akan dijalankan selepas laporan ujian COVID-19 diperolehi.
“Sampel darah penunggang juga diambil untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.