Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan

KOTA KINALU: Cubaan seorang penunggang motosikal memotong sebuah lori 10 tan di hadapannya membawa padah apabila mangsa terjatuh sebelum digilis lori dalam kejadian di Jalan Batayan Minintod, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak EX90 bergerak dari arah belakang lori berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya cuba memotong lori berkenaan namun dikatakan hilang kawalan dan terus terjatuh ke bawah lori.

“Mangsa digilis sejauh kira-kira 14 meter bersama motosikalnya di bahagian tayar belakang lori. Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

“Semasa kejadian, terdapat kenderaan lain yang turut berada di belakang lori berkenaan dan dapat l merakam keseluruhan kejadian menggunakan perakam dashcam kenderaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, rakaman kejadian sudah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

scroll to top