Penyelengaraan, Pembaikan Klinik Desa Tiulon Perlu Disegerakan

SOOK: Klinik Desa Tiulon yang dibina pada tahun 2005 di Kampung Rancangan Belia Tiulon diancam kerosakan.

Infrastruktur tersebut yang berusia lebih kurang 16 tahun itu mula mengalami beberapa kerosakan di bahagian atap bangunan, yang kelihatan rapuh dan berisiko mengancam keselamatan kakitangan klinik dan pelawat.

Masalah ini mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN N.45 Sook, Datuk Ellron Angin yang baru-baru ini telah turun padang untuk melihat sendiri keadaan klinik tersebut.

DATUK ELLRON ANGIN.

Beliau ketika ditemui menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia  mengambil tindakan segera untuk memulihkan struktur bangunan ini yang sudah mulai rosak terutamanya bahagian atap.

“Pembaikan ini harus dilakukan segera kerana klinik merupakan satu kemudahan yang amat penting di kampung ini, apatah lagi kedudukan klinik berdekatan iaitu Klinik Sook terletak jauh di Pekan Sook,” ujar beliau lagi.

Lebih parah lagi apabila, projek pengaspalan di jalan utama kampung tersebut yang sudah lama dipohon oleh Ellron belum dapat dilaksanakan.

Hal ini menyebabkan kakitangan klinik terpaksa berhadapan dengan masalah penyebaran habuk daripada jalan utama terutamanya apabila musim kemarau.

Ruang dalam klinik tersebut terpaksa dibersihkan berulang kali untuk memastikan kebersihan klinik sentiasa di utamakan.

Menurut Ellron, projek pengaspalan sejauh 26 kilometer daripada jalan utama ke Kampung Kabuan belum dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan.

“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan, adalah lebih baik dijalankan secara berfasa iaitu fasa 1 dan fasa 2,” tambah beliau.

Seorang Jururawat Masyarakat yang hanya dikenali sebagai Shafiza berharap agar pihak KKM sendiri melihat keadaan di sini, kerana atap bangunan ini sudah lama mengalami kerosakan.

“Ianya boleh mengancam nyawa kami serta penduduk sekitar,” jelasnya.

Shafiza turut meminta pertambahan kakitangan klinik memandangkan permintaan perkhidmatan penduduk semakin meningkat disebabkan jumlah penduduk yang semakin ramai.

Berdasarkan kepada info yang diterima, klinik ini merupakan salah satu kemudahan penting yang menjadi sumber perkhidmatan perubatan utama untuk beberapa kampung berdekatan, memandangkan ada dalam kalangan penduduk kampung yang sukar keluar kampung kerana faktor ketiadaan kemudahan pengangkutan dan keadaan permukaan jalan yang tidak baik.

Hadir sama dalam lawatan tersebut,Ketua Kampung Joseph Gukat, JPKK Kampung Rancangan Belia Tiulon, Larry Duin Edwin, Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Sabah Jre Jeneus serta beberapa penduduk kampung dan UPPM Sook. – ADMIN

scroll to top