Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Dakwaan penyewa di bangunan Wisma Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) bahawa cara pengosongan itu dibuat secara tergesa-gesa adalah tidak benar.
Pengerusi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) Datuk Ellron Angin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana penyewa telah dimaklumkan mengenai pengosongan itu melalui surat bertarikh 14 Mac 2019.
Tambahnya, jangka tempoh pengosongan adalah selama tiga bulan.
“Bagaimanapun kebanyakan penyewa telah memohon kepada KOSAN agar tempoh pengosongan dilanjutkan sehingga Disember 2019, dan ianya dipersetujui,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ellron berkata, dalam jangka waktu ini, penyewa-penyewa telah diberikan masa yang mencukupi untuk mengosongkan bangunan.
“Memandangkan penularan wabak COVID-19, maka pengosongan tidak berjalan lancar yang melibatkan sebilangan kecil sahaja penyewa yang masih berada di bangunan terbabit sehinggalah tarikh akhir pengosongan pada 24 Julai 2021,” jelasnya.
Menurutnya, KOSAN didalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30 yang diadakan pada 29 Jun 2013, telah meluluskan cadangan untuk membangunkan tanah-tanah milik KOSAN.
Selaras dengan itu, bagi Pembangunan Tanah Wisma KOSAN, Likas ianya telah ditandatangani pada 24 Ogos 2015.
Pembangunan Tanah Wisma KOSAN, Likas dimana terletaknya Wisma KOSAN adalah tanah yang dimiliki oleh KOSAN sendiri dan bukanlah tanah kerajaan.
“Dengan pembangunan ini akan memberi manfaat dan keuntungan kepada anggota-anggota KOSAN serta rakyat Negeri Sabah dimana bangunan yang dibangunkan mengandungi ‘apartment’ mampu milik, ruang pejabat serta lot-lot kedai.
“Pembangunan Tanah Wisma KOSAN Likas, ini telah dibentang, dibincang dan diluluskan oleh anggota-anggota KOSAN didalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-34, yang diadakan pada 19 Ogos 2017,” katanya.