Peranan universiti dan konsep bi-partisan APPGM-SDG elemen penting pembangunan mampan

PROJEK KOMUNITI…Ahli Parlimen Papar, Haji Ahmad Hassan dan Prof Dr Junaenah Sulehan bersama pegawai di Projek Hatcheri dan Penternakan Tilapia di Kampung Kuala Papar.

PAPAR: Institut Kajian Borneo (IBS), Kolej Universiti Yayasan Sabah dengan kerjasama Ko-Nelayan berjaya melaksanakan projek komuniti yang ditaja Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) di Papar.

Projek komuniti bertajuk ‘Pembangunan Kemahiran Komuniti Luar Bandar di Kampung Kuala, Papar: Hatcheri dan Penternakan Tilapia’ itu berlangsung selama tiga bulan mulai bulan Julai hingga September 2022.

Objektif projek antaranya memperkasakan kemahiran para peserta dalam kalangan nelayan di Kampung Kuala, Papar dalam bidang akuakultur iaitu pembenihan dan penternakan ikan tilapia dalam tangki serta kemahiran penyelenggaraan tangki gentian kaca.

Projek tajaan APPGM-SDG dikendalikan oleh Institut Pengajian Borneo (IBS), Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dengan kerjasama Pusat Latihan Akuakultur KO-NELAYAN (KATC) Kampung Laya-Laya, Tuaran sebagai rakan pelaksana yang memberikan latihan kepada 15 orang peserta projek.Pegawai penyelidik di IBS, UCSF, Jamal Gabir bertindak selaku Pengurus Projek.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah selaras dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menggunakan slogan ‘Memastikan Tiada Sesiapa Yang Ketinggalan’ dengan konsep kerjasama bi-partisan iaitu penglibatan pihak kerajaan dan bukan kerajaan dalam memastikan pembangunan komuniti bersifat mampan.

Matlamat akhir projek ini adalah untuk membolehkan nelayan menceburi keusahawanan melalui ilmu dan kemahiran akuakultur bagi menjana pendapatan isi rumah serta mengurangkan kebergantungan terhadap penangkapan hasil perikanan laut yang makin berkurangan akibat pelbagai faktor seperti cuaca yang tidak menentu.

Antara aktiviti di bawah projek ini ialah sesi dialog dan perbincangan bersama komuniti nelayan bertujuan mengenalpasti masalah yang dihadapi serta mendapatkan input daripada peserta sendiri mengenai cara penyelesaian masalah.

Seramai 15 orang peserta terlibat dalam projek yang terdiri daripada 11 peserta lelaki dan 4 peserta wanita, termasuk golongan belia berumur 14 tahun dan surirumah.

Dalam sesi dialog yang diadakan, peserta projek mendedahkan bahawa kehidupan sebagai nelayanterjejas ekoran perubahan iklim yang tidak menentu, selain projek oil dan gas PETRONAS yang melibatkan kawasan perairan ditutup kepada nelayan serta
pelaksanaan pewartaan kawasan laut sebagai kawasan marin dilindungi (marine protected area) yang tidak membolehkan mereka menangkap ikan di kawasan yang digazetkan.

Menurut peserta, mereka terpaksa keluar lebih jauh ke laut untuk menangkap ikan dan ini memerlukan kos yang besar serta kemudahan bot berkeupayaan kuasa enjin yang lebih besar.

Peralatan ini memerlukan modal lebih besar di luar kemampuan mereka.Selain dialog dan perbincangan, aktiviti projek juga termasuklah kursus selama empat hari bermula 26 hingga 29 September 2022.

Dua kursus bertajuk Kursus Upskilling Pembenihan dan Penternakan Ikan Tilapia Dalam Tangki serta Kursus Penyelenggaraan Tangki Fibre Glass berjaya dilaksanakan dengan penglibatan jurulatih dari KATC, Tuaran.

Selain dua kursus itu, peserta turut berpeluang mendengar ceramah bertajuk ‘Kepentingan Aliran dan Kualiti Air Terhadap Perikanan’ yang disampaikan oleh Nurrul Fazlina Osman, penyelidik APPGM-SDG Sabah serta ceramah bertajuk ‘Why we should protect marine & coastal life and ecosystems?’ yang disampaikan oleh Ibrahim Ghani Wasti, pensyarah di Fakulti Sains Alami dan Kelestarian (FNSS), UCSF.

Majlis perasmian penutupan kursus sekaligus penutupan projek itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen P175 Papar, Tuan Haji Ahmad Hassan.

Dalam ucapan perasmian penutupan, beliau berharap peserta tidak mensia-siakan ilmu dan kemahiran yang baru dipelajari, malah menggalakkan peserta untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan lebih ramai penduduk kampung agar faedahnya dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan nelayan.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Prof. Dr. Junaenah Sulehan (Pengarah IBS, UCSF), Dr. Jain Yassin (Penyelaras dan Ketua Penyelidik APPGM-SDG Sabah), Anwar Bin Datuk Hamzah (Pegawai Khas P175 Papar), Roger Amandus (Penyelaras Parlimen Dun Limbahau), Jalaluddin Bin Abdullah (Penyelaras Parlimen Dun Pantai Manis), Salleh Hj. Obong (Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Industri Perikanan) KO-NELAYAN), Fazlan Thomas(Penolong Pengurus SCENIC) serta Madiaman Bin Osman (Ketua Kampung, Kampung Kuala).

scroll to top