Perjuangan SHRREU Bela Ahli Kesatuan Buahkan Hasil

MOHD SHAHBUDIN ABDULLAH

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Perjuangan tanpa henti Kesatuan Pekerja-pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah (SHRREU) selama hampir lapan tahun akhirnya membuahkan hasil apabila ahli-ahlinya menerima bayaran caj perkhidmatan yang tertunggak sejak 2013.

Pembayaran tunggakan caj perkhidmatan oleh pihak majikan itu melibatkan seramai 350 ahli kesatuan SHRREU  iaitu satu-satunya kesatuan sekerja hotel yang berada di Sabah.

Presiden SHRREU, Mohd Shahbudin Abdullah berkata, ahli-ahli kesatuan menarik nafas lega apabila penantian selama lapan tahun itu berbaloi apabila majikan melunaskan pembayaran tunggakan caj perkhidmatan kepada pekerja.

LADIS YAMAN

Beliau memberitahu, majikan  membuat pembayaran semua tunggakan kepada pekerja pada 19 Ogos tetapi mereka yang lebih dulu  berhenti kerja masih berhak  menerima bayaran tunggakan yang akan dibuat  pada 27 September depan.

Sebelum ini, pekerja sektor perhotelan tidak menerima bayaran caj perkhidmatan sejak kes itu difailkan  di Mahkamah  pada 1 Oktober 2013.

“Setelah 8 tahun mengharungi liku-liku perjuangan  akhirnya pekerja di sektor perhotelan yang mempunyai kesatuan sekerja menarik nafas lega apabila Mahkamah Persekutuan memberikan kemenangan kepada Kesatuan Sekerja Kebangsaan Pekerja-pekerja Hotel, Bar dan Restoran  (NUHBRW) pada 23 Mac 2021,” katanya kepada Sabah360online.com.

JAMILUL YAHYA

“Mulanya kes itu difailkan di Mahkamah Perusahaan, selepas itu kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, kemudian Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke mahkamah yang paling tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.

“Semangat kami untuk   membela hak pekerja itu tidak pernah luntur sekalipun menghadapi berbagai rintangan dari pihak majikan dan kerenah ahli itu sendiri.

Sementara itu, Setiausaha SHRREU, Ladis Yaman berkata, selepas  kes gaji minimum ini selesai, pihak kesatuan akan beralih pula ke perbincangan Perjanjian Bersama (CA).

Katanya, CA pertama ditandatangani pada tahun 2008 bersama majikan dan CA  kedua pada tahun 2011.

“Bagaimanapun CA ketiga tidak dapat ditandatangani disebabkan kes Gaji Minimum yang tertangguh di mahkamah bermula tahun 2013,” katanya.

Menurut Ladis,  kes gaji minimum adalah kes besar dalam sektor perhotelan kerana ia membabitkan penggunaan caj perkhidmatan yang sepatutnya tidak boleh digunapakai dalam pelaksanaan gaji minimum.

Pihak majikan  tidak lagi membuat `top up’ bermula dari tarikh 24 Mac 2021 dan mereka  mula membuat pembayaran penuh gaji pokok berdasarkan jumlah gaji minimum iaitu RM1200 bermula April 2021.

Walau bagaimanapun penarikan kes dibuat pada 30 Jun 2021 yang membolehkan bayaran tunggakan kepada pekerja  dianggarkan kira-kira RM10 juta dilaksanakan pada 19 Ogos 2021

BARI MATSALLEH

Sementara itu, pekerja hotel, Jamilul Yahya yang berkhidmat sejak 2012 mengucapkan terima kasih kepada SHRREU atas  perjuangan yang  mereka lakukan untuk membela hak-hak  pekerja walaupun mengharungi pelbagai cabaran.

Seorang lagi yang sempat ditemui,Bari Bin Matsalleh menghargai usaha SHRREU  yang  memperjuangkan hak pekerja hingga kami  berjaya mendapat tunggakan yang memang ditunggu-tunggu, katanya yang mula bertugas sejak 2004.

Katanya, pekerja sektor perhotelan berpuas hati dengan pembayaran tunggakan itu walaupun terpaksa menunggu lapan tahun untuk menikmatinya.

scroll to top