TANDEK: Masyarakat Islam diseru agar terus memperkasakan diri dalam menimba ilmu pengetahuan baik ilmu dunia mahu pun ilmu akhirat, kata Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Marudu Ustaz Rahmat Parasun .
Berucap ketika merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah/ Fardhu Kifayah di Kampung Tingkalanon , Ustaz Rahmat berkata masyarakat Islam perlu terus dibimbing untuk melaksanakan ibadah fardhu kifayah yang diperintahkan kepada setiap individu muslim.

SIJIL…Ustaz Rahmat (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta perempuan dan lelaki.
Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana penyertaan peserta yang amat memuaskan walaupun program itu diadakan di luar bandar.
Jelasnya,orang Islam wajib mempelajari fardu kifayah termasuk cara-cara mengurus jenazah sama ada lelaki ataupun perempuan menurut syariat Islam seperti memandikan jenazah, mengafankannya serta mengkebumikannya .
Beliau menasihatkan semua peserta agar meneruskan pembelajaran dalam banyak perkara terutamanya pengurusan jenazah yang sudah tentu besar pahalanya disisi Allah SWT.
Terdahulu Pengerusi Surau yang juga pengerusi penganjur program Cikgu Yahya Mubin memberitahu, seramai 106 orang peserta daripada Kampung Tingkalanon, Tandek, Beliajung Taritipan, Tanjung Batu, Damai dan Kota Marudu menyertai kursus berkenaan.
“Ia menunjukkan bahawa kursus seumpama ini penting sebagai ilmu yang amat berguna,” kata Rahmat sambil berharap agar lebih banyak kursus diadakan bagi mengembangkan syiar Islam.

KENANGAN…Ustaz Rahmat merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta kursus tersebut.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jheains Kota Marudu dan Pejabat Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Bandau dan penyumbang lain yang memberikan bantuan dan sumbangan untuk menjayakan program berkenaan.
Seramai empat orang tenaga pengajar ddiketuai oleh Imam Alung Jasmin dan dibantu oleh Hafiz manakala dua orang lagi Ustazah dari Jheains Kota Marudu.
Turut hadir ialah Ustaz Azlan Saiwah Penyelaras Pentadbiran Masjid dan Surau Daerah Kota Marudu, Guru KAFA Surau As Sholah Ustaz Jeffry Musa dan masyarakat setempat.