Perkhidmatan pergigian percuma tingkatkan kesihatan komuniti

Shahelmey (kanan) bersama Dahali (kiri) serta Haryani ketika bercakap kepada media.

KOTA KINABALU: Penyampaian perkhidmatan pergigian secara terus dan percuma diharap meningkatkan kesihatan komuniti khususnya golongan B40.

Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Kampung Angkat Pergigian Daerah Putatan dilancarkan sebagai usaha menambah baik akses perkhidmatan, kesedaran dan pengetahuan tentang kesihatan pergigian.

“Program Kampung Angkat Pergigian merupakan satu langkah relevan untuk meningkatkan taraf kesihatan pergigian dan para pemimpin akar umbi diseru memberi kerjasama menjayakan objektif program.

“Melaluinya, rawatan pergigian akan dibuat dengan lawatan berkala rumah ke rumah terutamanya pada musim cuti sekolah di kampung yang terlibat.

“Ini selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya iaitu merakyatkan perkhidmatan dan program relevan sebegini akan diperluas ke kawasan-kawasan yang lain sekaligus mengekalkan kesinambungan pemberian perkhidmatan kesihatan masyarakat.

“Hal ini akan memberi manfaat di era pasca pandemik COVID-19 dengan aspek promosi kesihatan menjadi tumpuan termasuk pergigian,” katanya semasa merasmikan Program Kampung Angkat Pergigian Daerah Putatan di Kampung Muhibah yang dipilih sebagai perintis, pada Jumaat.

Shahelmey (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan Sijil Program Kampung Angkat Pergigian Daerah Putatan kepada Ketua Kg. Muhibah, Yahya Buntok.

Jelas beliau, berdasarkan National Oral Health Survey of School Children 2017, 99.8% pelajar sekolah rendah di Malaysia memerlukan rawatan pergigian, manakala kajian pada 2010 pula menunjukkan 93.9% golongan dewasa mempunyai masalah periodontium dan pertambahan keperluan gigi palsu dalam kalangan ramai warga emas.

“Merujuk kepada Surat Pekeliling Bahagian Kewangan Bilangan 1 Tahun 2013 (Pengecualian Bayaran Caj Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Di Luar Hospital / Fasiliti KKM) 43, tiada caj rawatan bagi aktiviti pemeriksaan dan rawatan pergigian bagi meningkat kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman untuk golongan yang kurang berkemampuan.

“Namun, bagi pembuatan gigi palsu melalui makmal pergigian bergerak akan dikenakan caj berdasarkan perintah Fi (Perubatan 1982),” jelasnya lanjut,” tambahnya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah dan Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Putatan, Datuk Mohd Dahali Matsin.-Penerangan.

scroll to top