Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Sabah terima RM100 ribu

Sebahagian pesara yang menerima sijil penghargaan dari Hajiji (dua dari kiri).

KOTA KINABALU: Persatuan Pesara  Kerajaan Negeri Sabah  menerima geran peruntukan khas RM100 ribu  daripada kerajaan negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata peruntukan tahunan tersebut bertujuan memudahkan pelaksanaan program dan aktiviti persatuan.

“Ia antara empat inisiatif baharu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan golongan pesara dan diharapkan mereka dapat mengekalkan keyakinan diri serta menyematkan semangat cintakan negara.

“Tiga lagi inisiatif lain ialah tambahan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM150 yang akan dicarumkan ke dalam akaun i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Rawatan perubatan turut dipanjangkan kepada ibu-bapa pesara berpencen dan pesara skim KWSP melalui surat edaran bertarikh 15 Februari 2021 sebagai menjaga kebajikan pesara.

“Di samping itu, kerajaan juga meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan dan bakal menyediakan pejabat pesara di beberapa daerah yang telah dikenal pasti,” katanya semasa Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022.

Dalam majlis tersebut seramai 1,167 pesara  pelbagai gred sepanjang tahun 2019 hingga 2021 diraikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai dan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Wilfred Lingam.-PENERANGAN.

scroll to top