Pertandingan Melukis Merdeka Art Sempena Hari Kebangsaan 2021

Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Setiap tahun, hari kemerdekaan disambut oleh seluruh rakyat dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik namun berbeza dengan sambutan dua tahun kebelakangan ini, program-program kebangsaan lebih banyak diadakan secara maya menerusi media sosial bagi memeriahkan sambutan dalam normal baharu memandangkan negara masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

Balai Seni Lukis Sabah (BSLS) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan menganjurkan Pertandingan Melukis Merdeka Art bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun 2021.

Tema untuk pertandingan melukis bertemakan Malaysia Prihatin (poskad kepada frontliners) bersempenakan sambutan bulan kemerdekaan 2021.

Program bermula pada 28 Ogos 2021 (Tutorial) dan tarikh tutup penghantaran karya pada 29 Ogos 2021.

Menurut kenyataan BSLS, inisiatif ini dilaksanakan bagi menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih rakyat Malaysia kepada petugas barisan hadapan negara (frontliners) serta mencungkil bakat dan mengetengahkan kreativiti murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dalam menghasilkan lukisan.

Pertandingan ini sebagai landasan untuk menyemai rasa cinta kepada negara dan membina semangat patriotik dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.

BSLS akan mengadakan Tutorial Melukis secara online pada 28 Ogos 2021 terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di mana peserta akan mempelajari asas-asas melukis serta memahirkan lagi teknik melukis dengan mudah serta lebih konfiden.

Orang ramai dijemput untuk menyaksikan pameran siaran langsung yang dijalankan secara dalam talian menerusi website dan media sosial BSLS & LKNS.

scroll to top