Pertingkat Kawalan Sempadan Dari Dibolosi Warga Asing

TINJAUAN UDARA: Tinjauan melalui udara turut dilaksanakan semasa Op Benteng.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

TAWAU: Polis Kontinjen Sabah memperhebatkan lagi Op Benteng di sempadan negara Malaysia – Indonesia di daerah Tawau, bagi memastikan warga asing tidak akan bolos ke negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong-lorong tikus masuk ke negara ini, bagi mengekang penularan kes import wabak COVID-19.

ALBUM: Mazli (tengah) bersama Peter (empat kiri) merakam gambar bersama ketika melawat penugasan Op Benteng di sempadan negara Malaysia – Indonesia di Serudong Laut dan Kampung Haji Kuning Pulau Sebatik, Tawau.

Jelasnya, Op Benteng yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi warga asing, bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Beliau juga memberi amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Kawalan keselamatan di sempadan negara meliputi laluan darat, laut dan udara akan diperketatkan lagi,” katanya ketika melawat penugasan Op Benteng di sempadan negara Malaysia – Indonesia di Serudong Laut dan Kampung Haji Kuning Pulau Sebatik, Tawau.

KAWALAN KETAT: Kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu dilakukan bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, tinjauan melalui udara, darat dan laut sentiasa dilakukan bagi memastikan kawalan persempadanan negara tidak dicerobohi.

Turut hadir sama, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Ak Umbuas, pegawai Jabatan Imigresen, pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tawau dan ESSCom.

scroll to top