Peruntukan RM200,000 bantu nelayan Paitan

Ronald (tengah) menyaksikan Ketua Pengarah LKIM Yusof Othman menyerahkan replika bantuan check point kepada Pengerusi PNK Paitan Barjahun Hiyah.

PAITAN: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membantu nelayan di daerah ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata peruntukan itu bagi menghargai peranan yang dimainkan oleh nelayan dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan negara.

Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, seramai 20 nelayan menerima RM10,000 setiap seorang sebagai bantuan Touch Point enjin sangkut untuk manfaat mereka.

“Kementerian sentiasa komited memastikan peningkatan pengeluaran dan bekalan makanan khususnya hasil perikanan sentiasa mencukupi sepanjang masa.

“Selain itu, menjaga kepentingan dan kebajikan nelayan yang merupakan antara golongan sasar dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan, di sini hari ini.

Menurutnya, sejajar dengan hasrat kementerian memastikan sumber ikan dalam pasaran sentiasa mencukupi, pelbagai program dan inisiatif dibawah LKIM dilaksanakan antaranya Pemasaran Ikan Persatuan Nelayan.

“Inisiatif itu bertujuan memberi sokongan serta galakan kepada perniagaan pemasaran ikan dan menjalinkan rantaian pasaran antara Persatuan Nelayan.

“Saya berharap nelayan dapat memberikan kerjasama menjual hasil tangkapan melalui PNK seterusnya sebahagiannya dijadikan stok bekalan pada masa akan datang.,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan Pasar Nelayan itu, Ronald berkata, ia adalah kemudahan kepada golongan nelayan yang terangkum di dalam Program Pasar Nelayan.

Katanya, pasar adalah salah satu inisiatif MAFI melalui LKIM bagi meningkatkan pendapatan nelayan dengan memberi peluang mereka memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna.

“Menerusi program ini, nelayan dapat memendekkan rantaian pemasaran dan melepaskan mereka dari cengkaman orang tengah sekali gus memperolehi pulangan harga yang lebih baik.

“Pengguna atau pelanggan setempat pula boleh mendapat bekalan ikan segar pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Ronald berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 135 buah Pasar Nelayan telah dibina dengan penglibatan seramai 640 orang peserta di seluruh negara.

“Saya difahamkan, setakat ini sebanyak 10 orang peserta yang terdiri nelayan Paitan terlibat dalam Pasar Nelayan ini yang dibina dengan kos peruntukan sebanyak RM200,000.

“MAFI akan terus melihat keperluan pembangunan infrasturuktur seperti pasar nelayan ini yang sudah tentu akan memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

scroll to top