PESTA Salag yang dianjurkan buat julung kalinya di Lahad Datu baru-baru ini bukan saja amat bermakna dan bersejarah bagi seluruh masyarakat Etnik Idahan tetapi juga penting sebagai produk baru pelancongan di Pantai Timur Sabah.
Apa itu Salag?. Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah, Abdul Karim Haji Dakog berkata dalam bahasa Idahan, Salag bermaksud “sarang burung yang boleh dimakan’.

ANGKAT PESTA SALAG…Pengerusi LKNS, Titing Putang memperkatakan sesuatu dalam majlis itu.
Ia dituai dari gua warisan milik suku kaum Idahan yang dijumpai oleh nenek moyang suku kaum Idahan bernama ‘Apoi’, dan seterusnya diwarisakn melalui jurai-jurai keturunan yang masih wujud hingga ke hari ini.
Suku kaum Idahan sememangnya sudah dikenali mempunyai satu amalan tradisi yang unik iaitu memungut sarang burung yang boleh dimakan di gua gua warisan secara turun-temurun seperti di Gua Madai, Gua Baturung, Gua Segarung, Gua Tepadong, Gua Pidtong, Supod Batu, Batu Pang dan lain-lain lagi di Teluk Darvel (Luk Seban) Pantai Timur Sabah.
Selain gua-gua warisan milik suku kaum Idahan, kata Abdul Karim, terdapat juga gua sarang burung milik kerajaan iaitu Gua Gomantong yang kerja-kerja penuaiannya dijalankan oleh `kelanggungan’ serumpun kita berbangsa Sungai dari Sandakan Kinabatangan Sabah.

MENAWAN…Wanita dari suku kaum Idahan menunggu ketibaan tetamu dalam majlis itu.
Sebab itu, Pesta Salag bukan hanya diraikan oleh suku kaum Idahan sahaja kerana kini ramai pengusaha-pengusaha Rumah Burung Walit terdiri dari pelbagai suku kaum di negeri ini.
Sarang Burung adalah sumber ekonomi atau punca pendapatan utama masyarakat Etnik Idahan yang bermastautin di daerah Lahad Datu.
Setiap kali musim memungut iaitu dalam Musim Papas dan Musim Penangngoh, masyarakat pewaris sarang burung Etnik Idahan dari daerah Lahad Datu serta dari pelbagai pelusuk negeri Sabah datang beramai-ramai ke Gua Madai untuk memungut sarang burung selama sebulan.

KENAMAAN…Antara tetamu kenamaan yang hadir dalam Pesta Salag
Setelah musim memungut selesai orang-orang Idahan pulang ke kampung halaman masing-masing di daerah Lahad Datu sambil membawa pulang salag. Selain adat memungut sarang burung, Etnik Idahan juga mempunyai budaya tersendiri yang biasanya dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian, majlis perkahwinan, perayaan hari raya atau majlis-majlis rasmi kerajaan.
Tarian kebudayaan seperti tarian Biluk Idahan, BilukTandak Idahan, bermain alat muzik tradisional kulintangan (getitik), seni kraftangan seperti membuat Gegulug, Pettau, Ambung, Belika, Taning, Bu’ Ida’an dan sukan rakyat seperti gelisang Tuag, Terumpa’ Tiud, Punga’, Kaldang, Kebbat, Latin-latin, Liman-liman dan lain-lain lagi.
Abdul Karim berkata matlamat Pesta Salag ialah memelihara adat-istiadat dan amalan tradisi Etnik Idahan berkaitan sarang burung atau salag .

SARANG BURUNG….Pengerusi LKNS, Titing Putang memegang sarang burung atau salag bermutu tinggi sambil diperhatikan kenamaan lain.
Selain itu, ia juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah Lahad Datu untuk mengkaji serta mengenali Etnik Idahan dengan lebih dekat berkaitan adat-Istiadat, budaya, bahasa, kesenian, kraftangan, makanan tradisi, perubatan tradisional terutama yang berasaskan herba (pakat kayu/keppol).
“Kita juga mahu mengangkat daerah Lahad Datu sebagai destinasi bersejarah iaitu pusat perkembangan agama Islam terawal di Sabah disamping menikmati kepelbagaian flora dan fauna di Pantai Timur Sabah dan bermalam.
Tidak kurang pentingnya, kita mahu menonjolkan kepelbagaian etnik yang terdapat di daerah Lahad Datu sebagai salah satu khazanah yang dapat mengeratkan tali silaturrahim dan keharmonian antara kaum.
Pesta Salag juga bertujuan memperkenalkan industri dan hasil produk berasaskan sarang burung layang-layang atau walit sebagai sumber ekonomi yang boleh dikembang dan dipelbagaikan di daerah Lahad Datu serta dapat menjana pendapatan bukan sahaja kepada Etnik Idahan tetapi juga kepada pengusaha-pengusaha sarang burung di daerah Lahad Datu.
Abdul Karim berkata, Etnik Idahan seharusnya merasa amat bersyukur dan bertuah kerana melakar dua sejarah utama Negeri Sabah iaitu Pemilik harta karun turun-temurun gua-gua warisan selaku Orang Asal Lahad Datu dan Suku kaum pertama di Sabah yang mula-mula memeluk Agama Islam menerusi nenek moyang suku kaum Idahan bernama “Abdullah” berdasarkan penemuan manuskip Idahan bertarikh 1408 Masihi.
Pesta Salag yang diadakan kali pertama itu di Perkarangan Pejabat Daerah Lahad Datu diadakan secara kolaborasi antara Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KepKAS) dan Pejabat Daerah Lahad Datu Sabah.
Pesta Salag dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Titing Putang. Turut hadir ialah Timbalan Yang Di Pertua Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Sabah (MAGEBS),Pegawai Daerah Lahad Datu yang juga Pengerusi Induk Pesta Salag, Firuz Idzualdeen @ Benetty B. Mohd Dzul, Penasihat II, Persatuan Etnik Idahan Sabah,Datin Hajah Omai Salamah Kamah, Ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, Ketua-Ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan kenamaan lain.

PERTAHAN TRADISI…Pengerusi LKNS, Titing Putang menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkenaan.
Antara pengisian Pesta Salag itu ialah memperkenal adat-istiadat, bahasa dan budaya Etnik Idahan melalui pameran sejarah, kraftangan, pakaian tradisi, peralatan tradisional dan kesenian cara-cara memungut sarang burung atau salag yang digunakan oleh Etnik Idahan sejak turun-temurun.
Pameran hidangan jenis-jenis masakan tradisional Etnik Idahan serta ubat-ubatan daripada akar kayu atau herba (Keppol), pameran produk-produk yang berkaitan dengan industri sarang burung layang-layang/walit dan persembahan kebudayaan, kesenian dan pameran adat-istiadat Etnik Idahan, Pameran dan pertunjukan Tukong Likot, sukan rakyat dan sukaneka. Selain itu, turut diadakan program “Sepetang Bersama Ustaz” bagi memupuk nilai-nilai murni menerusi amalan seni dan budaya.
Pesta Salag diharap menjadi penghubung silaturrahim masyarakat di daerah Lahad Datu dan memohon kepada pihak kerajaan agar Pesta Salag diangkat menjadi perayaan rasmi dan dimasukkan dalam kalender tahunan pelancongan bagi negeri Sabah.