Oleh MARIAYATI MURSIDI
BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20, menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki cuba menyeludup 4,040 bungkus rokok di jalan Kampung Manduring, dekat sini, pagi Ahad.
Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, suspek berumur 39 tahun ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda di laluan tikus (jalan Kampung Manduring), Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh.

AHMAD FUAD
Beliau berkata ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, sepasukan anggota PGA RCP Sapi Nangoh ESSCom yang sedang melaksanakan tugas rondaan Snap Check dan cegah jenayah di laluan berkenaan, telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap fizikal kenderaan telah menemui kesemua rokok seludup terbabit yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata, antara jenis rokok seludup yang dijumpai dalam kenderaan itu adalah 1,600 bungkus rokok jenama Astro Merah,1,000 bungkus rokok jenama Era Biru, 50 bungkus rokok jenama Astro Hijau, 50 bungkus rokok jenama LA, 50 bungkus rokok jenama A Satu Mild, 200 bungkus rokok jenama Surya 12, 200 bungkus rokok jenama A Satu premium dan 690 bungkus rokok jenama Magnum dengan nilai keseluruhan rampasan rokok seludup dianggarkan sebanyak RM113,320.68.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.
Turut dirampas kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek dalam kegiatan terbabit.
Sementara itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan pusat pemeriksaan daratan (RCP) Sapi Nangoh ESSCom di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 20 PGA Beluran yang terlibat dalam operasi ini.
Katanya, kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik penyeludup rokok dan dadah di daerah ini.
Menurutnya, ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZone yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZone dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah PTI (OCP) bagi mengawal dan mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya daripada negara jiran.