PGA Tawau Tahan Lelaki Tempatan Milik Sembilan Paket Syabu

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang memiliki sembilan paket dadah jenis syabu dalam  Op Benteng COVID-19  di Jalan Kampung Apas sekitar jama 7 malam, di sini kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata dalam operasi itu, suspek yang sedang menunggang motosikal dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas suspek lingkungan usia 43 tahun itu telah berjaya menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, pasukan PGA yang memeriksa motosikal suspek turut menemukan lapan lagi paket syabu  yang disembunyikan di dalam sebuah kotak rokok,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 6.62 gram dengan nilai pasaran sebanyak RM810.

“Suspek dan barang rampasan termasuk sebuah motosikal itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Mohd Yacob, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (a) (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,”katanya.– ADMIN

scroll to top