BEAUFORT: Golongan bukan warganegara tidak diketepikan daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Ruslan Muharam.

RUSLAN
Menurut beliau, vaksinasi yang diberikan kepada golongan tersebut akan memberi kesan secara total dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.
“Dalam situasi penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari khususnya di Sabah, semua orang akan diberikan vaksin tanpa mengira status individu tersebut.
” Jika kita hanya mengutamakan rakyat tempatan sahaja dan tidak melibatkan mereka yang bukan warganegara, ini tidak akan memberi kesan secara total dalam usaha kita memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira status demi memelihara kesejahteraan serta keselamatan rakyat.

TINJAU: Ruslan (dua dari kiri) bersama Matbali (kanan) meninjau program outreach CITF Daerah Beaufort.
“Oleh sebab itu, melalui program hari ini pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberikan peluang kepada golongan bukan warganegara mendapatkan suntikan vaksin,” jelasnya kepada media selepas meninjau Program Jangkauan Luar (Outreach) CITF Daftar dan Vaksin Daerah Beaufort di Dewan Sri Dayang Lumadan, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Matbali Musah, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa, Pegawai Daerah, Abdul Basirun dan Pegawai Penerangan Daerah, Awang Muil Awang Raya.-Penerangan.

PEK MAKANAN: Ruslan memberikan pek makanan ringan serta minuman kepada salah seorang penerima vaksin.