Pihak Berkuasa Roboh 14 Sulap Haram Di Hutan Simpan Paitan

MUSNAHKAN...  Pasukan penguatkuasa melakukan kerja-kerja meroboh sulap yang didirikan secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Paitan.

Oleh YUSOP TEPPO

BELURAN: Sebanyak 14 buah sulap sementara yang didirikan secara haram di tiga lokasi berasingan di dalam kawasan Hutan Simpan Paitan telah dirobohkan oleh pihak berkuasa pada Jumaat lepas.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dilakukan oleh Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan disertai Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) , Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia (WWF Malaysia) dengan kekuatan 37 orang anggota.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Frederick Kugan berkata  kerja meroboh terpaksa dijalankan sebagai langkah terakhir setelah tiga  notis keluar hutan simpan dan amaran lisan berulangkali tidak dipedulikan oleh penceroboh haram.

“Tiga lokasi yang dirobohkan dalam operasi ini adalah  kediaman sementara (sulap) dan tidak berdaftar sebagai perkampungan di Pejabat Daeah Kecil Paitan.

“Selain struktur bangunan, peneroka haram juga menanam tanaman kontan seperti pisang, ubi, sayuran dan sedikit buah-buahan yang masih kecil,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata keluasan yang diteroka dianggarkan 14 hektar yang mana sebelum ini kawasan terbabit mempunyai dirian hutan yang unggul dan merupakan habitat pelbagai hidupan liar.

“Dalam masa terdekat ini kawasan ini akan dipulihkan dengan tanaman kayu untuk mengembalikan fungsi asalnya,” katanya.

Tiada suspek dijumpai di dalam bangunan kerana dipercayai berada di kediaman tetap mereka di Kudat. Berdasarkan maklumat, penceroboh haram adalah berstatus warganegara.

Kejayaan melaksanakan misi mendepani pencerobohan hutan simpan,  Frederick turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Komander Briged PGA Sabah atas bantuan bagi menangani segala jenis jenayah perhutanan melalui OBK yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“OBK ini sangat berkesan kerana disertai oleh pelbagai agensi dan keanggotaan ketika operasi pula adalah ramai. Jabatan Perhutanan berharap OBK  ini dapat diteruskan meskipun dibuat secara berkala mengikut keperluan,” katanya.

Seterusnya, beliau  menegaskan bahawa Jabatan Perhutanan tidak akan berkompromi terhadap kegiatan menceroboh kawasan hutan secara haram.

“Sebelum ini, JPS telah menawan semula beberapa kawasan yang diceroboh secara haram dan kawasan tersebut telah dipulihkan sebagai kawasan hutan melalui projek restorasi hutan.

“Antaranya Hutan Simpan Mersuli, Tanjung Tummanung Hallu dan Sapagaya Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan dan Sandakan,” katanya.

Frederick menegaskan adalah menjadi kesalahan di bawah Enakmen Hutan 1968, Seksyen 20 (1)(b)(i) mendirikan apa-apa struktur dalam kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan hak disisi undang-undang hutan.

“Begitu juga bagi kegiatan bercucuk tanam dan menternak sebarang jenis ternakan dalam kawasan Hutan Simpan. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.00 atau penjara hingga (3) tahun,” katanya.

ROBOH … Sulap haram yang telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Justeru itu, Frederick menasihati orang awam supaya tidak sekali-kali menceroboh kawasan hutan simpan untuk sebarang tujuan seperti mengambil kayu, tumbuhan, memburu haiwan, bercucuk tanam, melombong dan mengambil batuan.

“Hutan Simpan diwartakan untuk kepentingan semua samada hari ini atau untuk generasi akan datang. Bukan dibolot oleh individu atau sekumpulan orang yang hanya mementingkan diri sendiri,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata perlu disedari bahawa sebarang gangguan ke atas kawasan Hutan Simpan akan mendatangkan kesan buruk seperti banjir kilat, pencemaran air sungai yang menjadi sumber air kepada semua, peningkatan pemanasan cuaca global, gangguan kepada habitat hidupan liar dan seumpamanya.

“Semua kesan buruk ini secara langsung akan menjejaskan industri pelancongan dalam negeri ini yang mana  diketahui umum berteraskan pelancongan alam semulajadi,” katanya.

scroll to top