PIKAS Sasar 18,000 Pekerja Kilang Terima Vaksin COVID-19

Hajiji (kanan) memerhatikan proses vaksinasi Covid-19 dijalankan.

KOTA KINABALU: Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) menyasarkan seramai 18,000 pekerja kilang menerima suntikan vaksin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah itu melibatkan pekerja dari 407 kilang pembuatan yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar dan Tuaran.

“Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan menguruskan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Semua kos pengurusan PPV akan ditanggung oleh pihak swasta untuk menjimatkan peruntukan kerajaan,” katanya selepas meninjau operasi PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan majikan perlu menanggung sepenuhnya kos vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos melalui potongan gaji, walaupun pekerja terbabit tidak lagi bersama syarikat itu selepas mendapat dos pertama.

Tambah beliau, usaha itu merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), untuk mempercepatkan proses vaksinasi negara dengan tujuan memvaksinasi sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.

Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar secara dalam talian melalui www.miti.gov.my.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian (MID), Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip. – Penerangan.

scroll to top