PIMRUS serah sumbangan melalui Ziarah Kasih

PRIHATIN…Dr. Azlan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada Adik Fatimah Abdul Jalil sambil disaksikan oleh Rahmat Parasun (dua dari kanan) dari kiri Fina dan Shamsuddin.

BANDAU: Pertubuhan Islam Muallaf Rungus Sabah (PIMRUS) mengadakan program Ziarah Kasih sambil menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,020 berserta bakul makanan kepada Adik Fatimah Abdul Jalil seorang kanak-kanak istimewa yang sering menjalani rawatan di hospital Kota Marudu, Queen Elizabeth, Queen 2 dan Hospital Likas Kota Kinabalu.

Sumbangan itu disampaikan oleh ketua rombongan Dr. Raymond Majumah @ Dr. Azlan Shafie Abdullah yang mewakiili Presiden PRIMUS,Datuk Dr. Haji Salleh Parasin di kediaman adik Fatimah di Kampung Beliajung DUN Bandau kira-kira 2km dari Pekan Tandek dekat sini petang kelmarin.

Sementara itu, Abdul Jalil Madarin selaku tuan rumah merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada PIMRUS khasnya Datuk Dr. Haji Salleh yang mengambil berat mengenai kebajikan masyarakat berbilang kaum termasuk keluarga beliau sendiri.

Dr Raymond yang juga Timbalan Presiden PIMRUS berkata, walau pun PIMRUS baru sahaja ditubuhkan pada awal Oktober 2021 namun banyak aktiviti yang dilaksanakan termasuklah membantu dan menyantuni masyarakat yang memerlukan tanpa mengira suku atau kaum mereka.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana PIMRUS di bawah pimpinan Presiden amat prihatin membantu masyarakat terutamanya mereka yang berdepan masalah kesihatan, pembelajaran dan sebagainya.

Hadir sama dalam program itu, Setiausaha Agung PIMRUS Tuan Rahmat Parasun, Timbalan Setiausaha Agung Shamsuddin Abdullah, tiga orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi PIMRUS yang terdiri dari Pengerusi Dakwah dan Pendidikan Puan Fina Zariana Abdullah, Pengerusi Keahlian Puan Nazirah Abdullah dan Puan Liza Abdullah.

scroll to top