Oleh MARIAYATI MURSIDI
LAHAD DATU: Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu (PKKLDU) menafikan kesahihan kandungan mesej yang mendakwa “…KKM Lahad Datu telah menerima seorang pesakit yang baru balik dari KL disahkan positif COVID-19 (Varian Delta)…” seperti yang sedang tular di media sosial.
Menurut satu kenyataan, mesej berkenaan turut menggesa orang ramai mengamalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang kononnya selaras saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah ekoran peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri ini.
PKKLDU menjelaskan mesej yang dimaksudkan adalah palsu dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, PKKLDU menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai mesej berkenaan sebaliknya merujuk medium rasmi Facebook Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu untuk mendapatkan maklumat yang sahih.