PKPD Kg Gusi Kinarut lanjut, 5 lagi lokaliti baharu, 3 tamat

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Gusi Kinarut, Papar selama dua minggu lagi berkuat kuasa 4 Julai hingga 17 Julai 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, PKPD di lokaliti terbabit dijadualkan tamat pada 3 Julai 2021.

“Bagaimanapun, pihak Kementarian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu di rekodkan di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga kini, pihak KKM telah melakukan 700 ujian saringan dan 155 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, lima lagi lokaliti dikenakan PKPD selama dua minggu berkuat kuasa 4 Julai hingga 17 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Masidi berkata, lokaliti-lokaliti berkenaan melibatkan dua lokaliti di Kota Belud iaitu Kampung Siasai Dundau dan Kampung Pantai Emas; Kampung Naruntung, Pitas; Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau; dan Kampung Babagon, Penampang.

“Bagi situasi semasa kes COVID-19 di dua lokaliti di Kota Belud, sebanyak lapan kes direkodkan di Kampung Siasai Dundau selepas 15 individu disaring manakala di Kampung Pantai Emas, seramai 73 orang disaring dan 10 kes dilaporkan,” jelasnya.

Di Kampung Naruntung, Pitas, pihak KKM telah melaksanakan 86 ujian saringan dan 21 daripadanya dikesan positif COVID-19.

Manakala di Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau, pihak KKM telah melaksanakan 14 ujian saringan dan lapan daripadanya dikesan positif COVID-19.

Bagi situasi semasa kes COVID-19 di Kampung Babagon, Penampang pula, pihak KKM telah melaksanakan 40 ujian saringan dan 11 daripadanya dikesan positif COVID-19.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti-lokaliti berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, tiga lokaliti ditamatkan PKPD iaitu Kawasan Semarak, Tawau; PPRT Kampung Pasir Putih, Putatan; dan Kampung Skim Pamalan, Keningau.

scroll to top