Oleh HENRY BATING
LABUAN: Pihak berkuasa diminta mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan Simsudin Sidek berkata bekalan keperluan yang tidak menentu menyebabkan punca utama kenaikan harga barangan.
“Kenaikan harga barang berlaku kerana peningkatan permintaan melebihi bekalan yang ada,” katanya.
Simsudin menjelaskan, rakyat juga terhimpit disebabkan pemulihan sektor ekonomi yang agak perlahan.
Menurut Simsudin, inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan sedia ada tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal mengambil kesempatan menaikkan harga serta memonopoli bekalan.
Justeru katanya, PKR Labuan menggesa pihak berkuasa agar mengambil langkah lebih proaktif untuk manangani permasalahan yang sering berlaku ini.
“Rakyat terus melalui saat-saat sukar demi meneruskan kehidupan,” katanya sambil berharap keraajan baru pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat memberi penyelesaian terhadap isu tersebut.
Jelas Simsudin, peningkatan kos sara hidup di Labuan menjadi masalah utama rakyat dalam mengharungi keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Lebih memburukkan keadaan, rakyat dibebani kenaikan harga barangan yang sangat ketara dalam masa yang singkat,” katanya.
Simsudin menegaskan, bekalan keperluan tidak menentu memberi kesan kepada sebahagian besar pengguna terutama kalangan yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Simsudin mengambil contoh, Daisy Margerine 18kg dalam tempoh sebulan mengalami kenaikan harga mencecah RM15.00 dari RM120.00 kepada RM135.00.